Pages

Islamic Widget

Wednesday, 27 October 2010

Program Jelajah ICT

Satu program jelajah ICT sekolah diadakan pada 24 Oktober 2010 bertempat di SMK Ladang Kerilla. Program ini dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Fasilitator SchoolNet (MapeFS) daerah Tanah Merah.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah :


-penyelenggaraan komputer oleh Unit Teknikal dan Penyelenggaran Fasilitator Schoolnet

-ceramah mengenai ‘Kepentingan Cakna IT/Cyber Law Dalam Dunia IT’ kepada pelajar-pelajar

-bengkel pembinaan laman web untuk guru-guru

-pertandingan permainan siber dan ‘speed typing’




Keratan akhbar Sinar Harian 26 Oktober 2010 (m/s17)
 

Friday, 22 October 2010

Soalan ulang kaji SPM percuma

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini boleh memuat turun secara percuma soalan ulang kaji terbitan Times Guides Sdn. Bhd. melalui laman sesawangnya www.after- school.my.

Soalan dalam bentuk e-buku itu melibatkan 13 mata pelajaran utama iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia, Fizik, Sains, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Perdagangan serta EST.

"Kertas-kertas soalan tersebut disediakan oleh panel guru yang berpengalaman," kata penerbit tersebut dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pada tahun ini seramai 20,000 pelajar tingkatan 5 dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Johor, Melaka dan Seremban telah mendapat buku Times Soalan Ulangkaji SPM 2010 secara percuma. 

Bagaimanapun, ujarnya, disebabkan kos cetakan yang tinggi maka alternatif terbaik adalah dengan meletakkan soalan ulang kaji itu di Internet supaya pelajar boleh membuat latihan secara dalam talian atau memuat turun bahan berkaitan tanpa sebarang bayaran.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek komuniti tahunan Times Guides ini, sila hubungi penerbit di 03-77298120. 

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke e-mel: info@times.my.

Sumber : http://www.utusan.com.my

Saturday, 15 May 2010

Perkhemahan Unit-unit Beruniform 2010

Pada        : 13-15 Mei 2010
Tempat    : SMK Ladang Kerilla


                              Pelajar berkumpul di Dataran Keriss sebelum bergerak ke tapak perkhemahan

                                                     
                                                         Pelajar berada di tapak perkhemahan


    Antara aktiviti yang dilakukan :






Pertandingan mencipta wau bulan

Pertandingan dikir barat

Pertandingan kawad kaki

Sunday, 9 May 2010

Semakan Tawaran Kemasukan Ke Tingkatan Enam Bawah 2010

Sukacita dimaklumkan Semakan Tawaran Kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah Sesi 2010 boleh disemak melalui laman sesawang www.moe.gov.my mulai 3 Mei 2010 hingga 1 Jun 2010.

Harap maklum.

PERUTUSAN HARI GURU 2010 OLEH Y.BHG. TAN SRI KPPM

PERUTUSAN HARI GURU 2010
oleh
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi  Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.
1.         Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua  memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara. 
2.         Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama. 
3.         Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.  
4.         Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara. 
5.         Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi. 
Warga pendidik dan pelajar sekelian,
6.         Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi. 
7.         Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.  Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara. 
8.         Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.
9.         Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.
10.       Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010  meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan. 
11.       Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.
12.       Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.




TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.

Sunday, 11 April 2010

Mesyuarat Agung PIBG kali ke-27

Tarikh                      : 11 April 2010
Masa                       : 3 p.m.
Perasmian Oleh        : YB Dato' Hj. Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
                                 (Ketua Umno Bahagian Tanah Merah)

 Mesyuarat Agung PIBG kali ke-27

  Tetamu Kehormat

 Pendaftaran Ibu bapa pelajar



 Penyampaian Hadiah

 Jamuan Makan

Tuesday, 2 March 2010

Watikah Perlantikan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber & Pengawas APD

Majlis Perlantikan Pengawas telah berlangsung pada :
                 Tarikh     :       28 Februari 2010 ( Ahad )
                 Tempat   :        Dataran Keriss

 
             Majlis Penyampaian Watikah

  
Ucapan alu-aluan oleh Tuan Pengetua yang amat kami kasihi, Tn. Hj. Mohamed bin Ali

  
Majlis dirasmikan oleh Ketua Balai Polis Kuala Tiga

 
  
Bacaan ikrar oleh Ketua Pengawas
 
Penyampaian Sijil Watikah Perlantikan Pengawas

Saturday, 6 February 2010

Gotong Royong Pencegahan Denggi

Tarikh : 6 Februari 2010
Masa : 8.30-12.30 tengahari
Anjuran : Unit Kesihatan SMK Ladang Kerilla

Aturcara Program

7.45 pagi                     : Semua guru & pelajar berkumpul di tapak perhimpunan
                                       - Ucapan Pengetua
                                       - Taklimat gotong-royong oleh PK HEM
                                       - Gotong-royong dimulakan

 

10.30 pagi                   : Rehat

11.00-1.00 tengahari  : Gotong-royong kelas
     
     
Program ini melibatkan semua guru, pelajar dan staf sekolah. Program ini bertujuan untuk membersihkan persekitaran sekolah dan memastikan tiada tempat takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes.

Terima kasih di ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini demi merealisasikan visi dan misi SMK Ladang Kerilla.

Sunday, 10 January 2010

Siapa dalang di sebalik Virus?

Semakin maju dunia IT, semakin hebat virus menyerang komputer dan semakin banyak produk pencegah virus dikeluarkan. Pernahkah anda terfikir siapakah dalang di sebalik virus komputer?



Adakah virus datang dengan sendiri?. Di internet terdapat ribuan malah jutaan virus yang boleh menutup sistem anda dan menghancurkan data anda. Antara gejala sistem yang biasa menyerang komputer adalah seperti :


*** Item yang jarang muncul di skrin seperti grafik pelik, mesej yang aneh atau mesej sistem ‘error’.

*** Capaian ke program rosak, cakera keras (Hard Disk) tak boleh baca.

*** Memakan masa yang sangat lama untuk mula program, atau kelajuan capaian program semakin lembab, atau mungkin juga anda tak boleh nak buka program langsung.

Itu adalah sedikit sebanyak gejala virus yang biasa menyerang komputer, jadi hati-hati dengan mesej yang pelik atau yang jarang muncul di skrin komputer anda.

Berbalik kepada tajuk kita iaitu siapa sebenarnya dalang kepada terhasilnya virus-virus yang saban hari telah merosakkan ribuan komputer di seluruh dunia. Baiklah, berikut merupakan antara dalang utama terhasilnya virus :

1) – Hackers, atau penggodam komputer, mereka mempunyai kemahiran untuk mengeksploit sistem komputer tanpa anda sedari. Mereka jugalah antara dalang utama terhasilnya virus komputer.

2) – Graduan, graduan yang dimaksudkan di sini ialah graduan jurusan sains komputer, ada di antara mereka menjadi pengganggur, walaubagaimanapun, mereka ini berkemahiran tinggi dalam ilmu komputer, mungkin akibat terlalu kecewa kerana tidak mempunyai pekerjaan mereka mencipta virus komputer dan menyebarkannya.

3) – Kelab komputer, sebahagian kelab komputer mempunyai anggota yang aktif tentang maklumat bagaimana menulis virus.

4) – Pengganas, kumpulan ini mempunyai pemikiran yang fanatik yang menganggap mereka adalah kumpulan terhebat di negara mereka atau di dunia. Akibat sering diburu pihak berkuasa, mereka telah mencipta virus untuk mengeksploit sistem komputer pihak kerajaan di negara mereka yang seterusnya merebak ke komputer seluruh dunia.

Keempat-empat kumpulan di atas merupakan dalang utama terhasilnya virus, anda pernah dengar nama David Smith? beliau telah dipenjarakan 20 bulan oleh mahkamah Amerika Syarikat atas kesalahan mencipta dan menyebarkan virus komputer yang telah menyebabkan dunia kerugian jutaan US Dollar dengan cara merosakkan rangkaian internet di seluruh dunia.




David Smith-Pencipta Virus Melissa


Beliau telah mencipta virus yang dikenali sebagai Virus Melissa, cara beliau menyebarkan virus ialah menerusi emel dengan menghantar dokumen word, apabila pengguna membuka dokumen tersebut, virus melissa akan mengeksploit sistem komputer.


Persoalan yang mungkin terlintas?? mungkin juga pengeluar perisian Anti Virus sendiri yang mencipta virus, kita lihat kini setiap hari akan muncul perisian Anti Virus baru yang kononnya mampu untuk menghalang komputer dari serangan virus, demi mencari keuntungan yang cepat, maka tidak mustahil mereka juga yang mencipta virus dan kemudian menawarkan produk yang mampu menghalang virus tersebut. Sama-sama kita renungkan?!..:-)





Top 5 AntiVirus Percuma!

Untuk melindungi komputer anda dari serangan Virus,Trojan dan sebagainya,anda memerlukan perisian Anti Virus, jika anda tidak memasang perisian anti virus, komputer anda akan terdedah kepada serangan virus yang akan menyebabkan komputer mengalami gangguan sistem.


Timbul persoalan?? Anti Virus mana yang perlu saya install? kerana kebanyakan perisian Anti Virus semuanya berbayar..

Di Internet kini terdapat berbagai jenis perisian Anti Virus yang boleh anda muat turun secara percuma, di bawah ini saya senaraikan 5 perisian Anti Virus percuma yang paling popular. Pastikan anda hanya install satu sahaja perisian Anti Virus bagi memastikan sistem Anti Virus dapat beroperasi dengan baik.

1)- Avast Home Edition





2)- AVG
 


3)- Rising Antivirus
 





4)- Spyware Terminator






5)- AntiVir



Saturday, 9 January 2010

Tips Jaga Laptop


1. BATERI
# Cuba elakkan daripada menggunakan bateri. Laptop akan lebih sejuk tanpa haba daripada bateri. Perlu diingatkan, jika bateri sudah habis dicas, anda digalakkan menggunakan kuasa dari adapter.

2. KEYBOARD
# Biasanya keyboard laptop mudah dimasuki habuk. Cara yang mudah, lapikkan keyboard anda dengan sekeping kertas A4 setiap kali anda tidak menggunakannya.
# Sesekali lap keyboard anda dengan perlahan-lahan. Jangan gosok terlalu kasar untuk mengelakkan daripada butang kekunci rosak.

3. SKRIN LCD
# Lapkan selalu skrin LCD laptop anda kerana ia mudah dimasuki habuk.
# Amalkan penggunaan screen saver, kemudian power management anda setkan pada "Turn Off monitor in XX minutes". Ini akan memanjangkan hayat monitor laptop anda.
# Elakkan menyentuh skrin LCD. Ini kerana, pada tangan kita terdapat kesan minyak yang tertinggal dan cap jari akan kelihatan pada skrin. Ia bukan sahaja nampak kotor tetapi juga sukar untuk dibersihkan.
# Jangan sesekali meletakkan jari anda di skrin LCD ini kerana ia boleh mengakibatkan "dead pixel".
# Jika tidak menggunakan komputer buat seketika, eloklah anda menutup skrin LCD anda. Ini dapat mengelakkan kesan bebayang (shadowing effect) pada skrin.

4. HABA PANAS
# Ketika menggunakan laptop, pastikan ada ruang udara agar haba panas boleh keluar dari laptop anda. Tambahkan kipas tambahan pada laptop.

5. SURGE PROTECTOR
# Surge protector berfungsi untuk menjaga perisian dan perkakasan dalaman daripada rosak. Apa yang boleh disyorkan adalah jenama APC atau lebih murah jenama BELKIN dan TARGUS. Kelebihan APC ialah ia mempunyai bateri simpanan, line protection (walaupun tiada bekalan elektrik tetapi masih boleh dihidupkan lagi) dan mempunyai amaran kehabisan bateri.
# Penggunaan Surge Protector ini paling efektif bagi menjaga HDD dan Power Supply.

6. PORT
# Port di bahagian tepi dan belakang laptop juga perlu kerap dibersihkan kerana ia mudah dimasuki habuk.
# Lebih mudah jika anda menggunakan berus gigi lama ketika membersihkannya. (Sila pastikan sebelum pembersihan dilakukan, anda telah mematikan suis laptop)

Ok. Selamat menjaga laptop anda. Jika ada tambahan tips yang lain, sila-sila kongsikan, moga ramai yang dapat manfaatnya.

7 Tips Membeli Laptop

 
1. TAHU KEPERLUAN DAN KENALPASTI SPESIFIKASI LAPTOP
  • Tanya kepada diri sendiri - Mengapa anda memerlukan laptop? Adakah anda sering membuat presentation atau melakukan kerja-kerja berkumpulan atau anda selalu travel? Jika Ya, okey anda boleh meneruskan niat anda itu. Jika tidak, cukuplah dengan menggunakan desktop aje (jika sudah sedia ada) agar and tidak membazirkan wang.
  • Kenalpasti spesefikasi laptop yang diperlukan - cth jenis & kelajuan processor, ruang ingatan (RAM -memory), dan saiz serta jenis paparan skrin.
  • Sebagai contoh - jika anda memerlukan sambungan tanpa wayar (wireless) maka anda perlu memikirkan untuk membeli laptop yang menggunakan pemproses Centrino kerana ia memang dikhususkan untuk kegunaan wireless.
  • Bagi ruang ingatan pula (RAM) anda perlu tahu berapa saiz memory yang diperlukan iaitu sama ada 128Mb, 256Mb, 512Mb bergantung kepada jenis kerja yang anda buat. Jika tugasan anda memerlukan banyak kerja2 grafik atau pengaturcaraan, pertimbangkan saiz memory yang lebih besar.
  • Saiz paparan skrin yang normal ialah 14" - 17". Untuk jenis skrin pula, saya mencadangkan anda memilih skrin paparan jenis "active-matrix" -kerana ia boleh dilihat dengan jelas dari pelbagai sudut/sisi. Walaupun skrin paparan "passive-matrix" lebih murah namun paparannya sukar dilihat di bawah cahaya malap dan juga tidak jelas jika dilihat dari sisi tepi. Manakala resolution skrin paparan yang dipilih sekurang-kurangnya adalah 1024 x 768 pixels.
  • Pastikan juga jenis port yang anda perlukan. kebanyakan laptop didatangkan dengan beberapa ports yang asas seperti mouse port, serial port, video port dan beberapa USB port. Jika anda mahu menghubungkan komputer anda dengan network, maka anda perlu memastikan laptop anda mempunyai network port. Jika tiada, maka anda perlu membeli "external network card" yang akan dimasukkan dalam expansion slot di dalam laptop anda, anda juga perlu membeli network cable.
2. SEDIAKAN BAJET YANG MENCUKUPI

  • Sekarang ini jika bajet anda RM2500, anda sebenarnya sudah mampu membeli laptop yang berkuasa agak tinggi, malah anda juga mampu membeli komputer yang tidak berjenama terkenal tetapi mempunyai spesifikasi yang sangat bagus. Apa yang penting anda perlu rajin tawar menawar dengan penjual.
  • Jika bajet anda melebihi itu, RM3000 - RM5000 contohnya, anda bolehlah membeli komputer yang berjenama terkenal seperti Compaq (atau HP), Acer, Toshiba, IBM, Fujitsu atau NEC. Kebiasaannya komputer yang berjenama terkenal ini mempunyai jaminan dan perkhidmatan sokongan pelanggan yang bagus - walau pun anda berada di mana-mana negara sekalipun.

3. BUAT SURVEY & DAPATKAN SENARAI HARGA
  • Setelah anda tahu keperluan dan mempunyai bajet, maka bolehlah anda membuat survey ke pusat-pusat IT utama - jika di Lembah Klang anda boleh berkunjung ke Plaza Low Yat, Plaza Imbi, Sungai Wang ataupun Mid Valley. Terdapat pelbagai jenis barang dan aksesori komputer yang ditawarkan di sana.
  • Dapatkan senarai harga yang biasanya diletakkan di hadapan kedai dan kalau boleh ambil seberapa banyak senarai harga dari beberapa buah kedai yang ada di situ, kemudian cuba buat perbandingan harga berdasarkan spesifikasi dan jenama yang sama.

4. TANYA PANDANGAN PENJUAL

  • Senaraikan spesifikasi yang dikehendaki dan minta penjual menghitung semula harga berdasarkan spesifikasi yang dikehendaki tersebut. Bandingkan harga dengan kedai lain.
  • Jangan lupa semak senarai harga dengan betul kerana ada sesetengah laptop yang dijual dengan tidak menyertakan sistem operasinya sekali.

5. JIKA PERLU, UPGRADE PROCESSOR, MEMORY, dan STORAN PADA MASA PEMBELIAN
  • Menaik-taraf atau upgrade memory komputer atau storan kebiasaannya adalah lebih murah pada masa pembelian.
  • Bertanya juga kepada penjual jika mereka ada menawarkan potongan harga atau ada promosi percuma untuk perkakasan lain dan untuk upgrade. Sebagai contoh - katakan laptop A hanya mempunyai RAM sebanyak 256Mb. Ada sesetengah kedai yang menawarkan proses upgrade RAM kepada 512Mb dengan percuma sahaja ataupun perlu menambah beberapa puluh ringgit sahaja. Ada juga yang menawarkan promosi seperti kad WiFi atau mouse optical secara percuma jika anda membeli laptop di kedai mereka.
  • Pada masa ini, spesifikasi laptop sekurang2nya - 512MB RAM, 2.4Ghz Processor dan 80GB storan (hard disk).

6. TENTUKAN JENIS-JENIS PERISIAN YANG ANDA PERLUKAN
  • Kebanyakan laptop/komputer yang dibeli didatangkan sekali dengan beberapa perisian asas di dalamnya, seperti Microsoft Office.
  • Namun ada pelbagai lagi jenis perisian lain yang mungkin kita perlukan. Sebelum memutuskan untuk membeli dan memasukkan apa-apa perisian di dalam laptop baru anda, pastikan dahulu bahawa ia mempunyai ciri-ciri asas yang membolehkan perisian tersebut diguna pakai.

7. PERIKSA SEMULA LAPTOP BARU ANDA
  • Setelah selesai pembelian, sebelum komputer anda dibawa pulang, Anda perlu memastikan bahawa kesemua komponen tambahan yang dimasukkan (jika ada upgrade perkakasan) adalah betul.
  • Periksa juga perkakasan sampingan lain (jika ada, seperti portable harddisk, mouse, printer, scanner, adapter, segala kabel yang diperlukan, manual dan CD driver) lengkap atau tidak.
  • Dan jangan lupa juga untuk memastikan kad jaminan (warranty card) telah diserahkan kepada anda.
Sekian.Selamat Membeli dan Mengguna Laptop Baru.

Wednesday, 6 January 2010

Perutusan Tahun Baru 2010 oleh Menteri Pelajaran di TV1

Sukacita dimaklumkan bahawa Perutusan Tahun Baru 2010 KPM oleh Y.A.B. Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan disiarkan secara langsung melalui TV1 pada 7 Januari 2010 bermula jam 9.10 pagi hingga 9.30 pagi, butiran lanjut adalah seperti berikut :-

Perkara:
MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BARU 2010
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Tarikh:
7 JANUARI 2010

Masa:
8.40 PAGI – 11.00 PAGI

Tempat:
DEWAN PLENARI, PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

Sehubungan itu semua warga pendidik dijemput untuk menyaksikan siaran tersebut.

Saturday, 2 January 2010

SMK LADANG KERILLA

Warga SMK Ladang Kerilla mengalu-alukan kunjungan anda ke laman blog sekolah ini. Segala cadangan dan pandangan anda amat kami hargai.